Home Semasa COVID-19: 11 kes positif dikesan di Parlimen – Dr Nor Hisham

COVID-19: 11 kes positif dikesan di Parlimen – Dr Nor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jul – Sebanyak 11 kes positif COVID-19 telah dikesan ketika pelaksanaan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 dikesan melalui ujian kendiri RTK (Ag) Saliva dan satu kes adalah ujian pengesahan RT-PCR.

Jangkitan terbaharu itu dikesan susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaporkan mengenai 2 kes positif COVID-19 yang telah hadir ke Parlimen.

Beliau berkata, kes pertama adalah seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada 26 Julai sehingga 28 Julai dan dilaporkan positif semalam melalui ujian pengesahan RT-PCR yang dijalankan di fasiliti kesihatan kerana mengalami gejala batuk serta selsema.

“Kes kedua pula dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai 2021 menggunakan ujian kendiri kerana mengalami gejala batuk,

“Siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, penilaian risiko berdasarkan maklumat awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen ketika tempoh Sidang Mesyuarat Khas.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag Saliva.

“Sehingga jam 8 malam 29 Julai 2021, seramai 1,183 individu telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag Saliva test kit,

“Daripada jumlah itu, sebanyak 9 lagi kes dikesan positif COVID-19 menjadikan keseluruhan 10 kes yang dikesan melalui RTK Ag Saliva (1 kes tengah hari, 9 kes petang),” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 2 daripada 10 kes positif itu mengalami gejala ringan tetapi stabil, manakala lapan lagi tidak bergejala.

“Berikutan pengesanan kes-kes positif COVID-19 tersebut, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu,

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen,

“KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply