Home Pertahanan dan Keselamatan PGA usir 3 PATI Indonesia cuba balik raya guna lorong tikus

PGA usir 3 PATI Indonesia cuba balik raya guna lorong tikus

by Nurulhuda

KUCHING, 19 Jul – Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang mahu pulang menyambut Hari Raya Aidiladha ditahan ketika cuba keluar dari Sarawak melalui jalan tikus di sebuah ladang berdekatan Kampung Kendaei, Lundu, petang semalam.

Briged Sarawak menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kesemua mereka telah ditahan oleh anggota Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri yang melaksanakan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) ketika cuba keluar dari Malaysia (Sarawak) ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka tidak mempunyai dokumen kemasukan yang sah ke Malaysia,

“Pengakuan PATI mengatakan telah datang ke Malaysia dan bekerja di ladang sawit (sebelum ini) serta sedang dalam perjalanan pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah untuk menyambut Hari Raya Korban,” katanya.

Tambah kenyataan itu, ketiga-tiga PATI terbabit yang berusia antara 21 hingga 47 tahun itu turut didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit perjalanan yang sah.

Ketiga-tiga mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Amaran lisan telah diberikan dan pengusiran dilakuan kepada ketiga-tiga mereka dan dihantar balik ke Indonesia melalui jalan tikus,

“Tiada sebarang kekerasan dan sentuhan digunakan ketika pemeriksaan dan pengusiran dilakukan,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply