Home Semasa Vaksin Sinopharm, Johnson & Johnson diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat

Vaksin Sinopharm, Johnson & Johnson diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memberikan kelulusan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi vaksin Sinopharm dan Johnson & Johnson, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin.

“Perkara ini akan dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan serta keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

“Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” ujar beliau.

Vaksin Sinopharm dikilangkan Beijing Institute of Biological Products Co. Ltd. (BIBP), China manakala Johnson & Johnson oleh Janssen Pharmaceutica N.V., Belgium.

Related Articles

Leave a Reply