Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong darat seludup 8 PATI Indonesia dicekup

Tekong darat seludup 8 PATI Indonesia dicekup

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 10 Jul – Tindakan seorang tekong darat yang cuba membawa masuk 8 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia gagal, apabila ditahan oleh anggota Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, kesemua suspek yang berumur antara 28 hingga 43 tahun itu ditahan dalam kebun kelapa sawit di Felda Bukit Besar, Jalan Kluang-Kota Tinggi, kelmarin.

Menurutnya, kesemua mereka diberkas dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di sebuah rumah penampungan sebelum merancang menghantar PATI itu ke lokasi di sekitar Johor.

“Hasil siasatan awal mendapati tekong darat bertindak sebagai penjaga kepada semua PATI yang baru sahaja masuk ke negara ini dengan menempatkan kesemua PATI tersebut dirumah penampungan sebelum dihantar ke lokasi sekitar Johor,

“Antara barang yang berjaya dirampas wang tunai berjumlah RM200, mata wang Indonesia berjumlah 9.4 juta Rupiah (RM2,700), sebuah telefon bimbit Nokia Model 105. Anggaran keseluruhan nilai rampasan RM3,100,

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya katanya dalam satu kenyataan, pada Jummat.

Dimin Awang berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Pada masa yang sama, beliau menyeru penduduk setempat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan PATI menerusi jalan yang tidak diwartakan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply