Home Semasa PKPD dikenakan di beberapa lokaliti di Sabah

PKPD dikenakan di beberapa lokaliti di Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Jul – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Sabah bermula12 sehingga 25 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD ini membabitkan 3 lokaliti di Kota Kinabalu termasuklah Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaraya Berjaya.

Beliau berkata, PKPD ini dilaksanakan ekoran berlakunya peningkatan kes dalam tempoh yang singkat di ketiga-tiga lokaliti ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan seramai 50 individu dikesan positif COVID-19 hasil ujian saringan yang dijalankan di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Beliau turut berkata, QL Farm, Membalua di Tawau juga dikenakan PKPD ekoran peningkatan kes dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dikesan dilokaliti berkenaan.

“Sebanyak 13 individu dikesan positif COVID-19 hasil daripada 49 ujian saringan yang dilakukan di QL Farm, Membalua ini,” ujarnya.

Selain itu, Kampung Pikat, Bongawan di Papar juga dikenakan PKPD dalam tempoh masa yang sama selepas KKM mengesan peningkatan kes dalam tempoh seminggu di kawasan berkenaan,

“Sebanyak 15 individu dikesan positif COVID-19 hasil 89 ujian saringan yang dilakukan,” tambahnya.

Menurutnya, prosedur operasi standard bagi kesmua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply