Home Semasa JIM buka kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang percepat urusan PATI

JIM buka kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang percepat urusan PATI

by Nurulhuda

SEPANG, 9 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuka kaunter khas Program Rekalibrasi Pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membolehkan pendatang asing tanpa izin (PATI) hadir untuk melengkapkan dokumen dan seterusnya pulang ke negara masing-masing.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, perkhidmatan itu akan meningkatkan tahap kecekapan pihaknya dalam melaksanakan program berkenaan selain memudahkan mereka yang ingin pulang ke negara asal tanpa perlu hadir ke pejabat Imigresen.

Menurutnya, perkhidmatan yang bermula semalam itu adalah sebagai satu game changer kepada JIM dengan mengguna pakai semua syarat program yang terdahulu.

Khairul Dzaimee berkata, pelaksanaan kaunter khas itu juga akan dipanjangkan ke KLIA2 dan pintu-pintu masuk antarabangsa yang lain.

“Antara syarat-syarat utama bagi menyertai Program Rekalibrasi Pulang di KLIA adalah mereka perlu memiliki dokumen perjalanan yang sah, memiliki tiket pulang ke negara asal dan PATI hadir tanpa perlu membuat janji temu (STO) di kaunter Imigresen khas pada hari jadual penerbangan,

“Selain itu, bayaran kompaun RM500 perlu dilunaskan dan perlu mengemukakan ujian RT-PCR COVID-19 sebelum hadir ke KLIA,” katanya ketika pengoperasian Program Rekalibrasi Pulang di KLIA, pada Khamis.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee menjelaskan, sepanjang program itu berlangsung sejak Disember tahun lalu, seramai 248,083 orang PATI mendaftar dalam program berkenaan setakat ini.

“Daripada jumlah ini, seramai 98,194 PATI telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang,

“Manakala seramai 6822 majikan dan 149,889 PATI telah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja,” tambahnya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan semua majikan dan PATI supaya tidak menunggu sehingga saat akhir dan tidak menggunakan khidmat orang tengah atau ejen bagi urusan Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Rekalibrasi Pulang. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply