Home Semasa COVID-19: Pesakit ditempatkan di luar Jabatan Kecemasan HTAR hanya sementara

COVID-19: Pesakit ditempatkan di luar Jabatan Kecemasan HTAR hanya sementara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Shah Alam kini dalam proses menambah kapasiti katil di hospital berkenaan ekoran peningkatan kes COVID-19 yang tinggi di negeri Selangor.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, semua hospital negeri itu menerima peningkatan kes COVID-19 terutamanya membabitkan pesakit kategori 3 dan ke atas secara berterusan sejak akhir bulan lalu.

“Peningkatan kemasukan pesakit akut di Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital berkenaan dijadikan Hospital Berpakar Major non-COVID yang memberi rawat pesakit non-COVID sekitar Petaling,

“Bagi HTAR pula, kebanyakan pesakit terbabit dirawat terlebih dulu di Jabatan Kecemasan sementara menunggu katil di wad,

“Oleh itu, pertambahan katil terpaksa dilakukan di luar Jabatan Kecemasan HTAR untuk sementara,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status semasa keadaan hospital di Selangor susulan gambar dan video yang tular di media sosial berkaitan keadaan Jabatan Kecemasan di HTAR dan Hospital Shah Alam.

Dr Sha’ari turut menjelaskan, mobilisasi kakitangan kesihatan dari luar Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi COVID-19 di Lembah Klang yang membabitkan pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.

“Penambahan bilangan katil juga sedang diusahakan melalui pengaktifan hospital medan di Hospital Tuanku Mizan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS),” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memerangi pandemik COVID-19.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembinaan sebuah lagi Hospital Medan ATM di HTAR berikutan situasi semasa jangkitan COVID-19 di Selangor yang semakin meningkat.

Selain itu, ia juga bagi menyokong kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor dan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) menangani situasi pandemik COVID-19 di negeri tersebut ketika ini.

Sementara itu, sehingga semalam, KKM telah mengesahkan Selangor kekal menjadi negeri yang mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 4,152 kes iaitu kali pertama melebihi angka 4 ribu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply