Home Semasa Lagi lokaliti di Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan PKPD

Lagi lokaliti di Pahang, Sabah dan Sarawak dikenakan PKPD

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jul – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di beberapa kawasan di Pahang, Sabah dan Sarawak selama 14 hari, bermula Khamis ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pahang membabitkan perkampungan orang asli di Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin.

Menurutnya, 2 perkampungan orang asli tersebut dikenakan PKPD selepas pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaporkan sebanyak 6 kes positif telah direkodkan dalam tempoh seminggu hasil dari 120 ujian saringan yang dilakukan di kedua-dua lokaliti tersebut.

Kampung Sri Menanti di Tawau dan Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya serta Kampung Pondo di Kota Kinabalu, Sabah turut dikenakan PKPD pada tempoh yang sama.

“KKM telah melaporkan terdapat peningkatan kes yang ketara di lokaliti ini dimana 15 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil dari 36 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 41.67 peratus,

“Manakala, terdapat peningkatan kes yang ketara di 4 kampung di Kota Kinabalu di mana 215 kes positif telah direkodkan hasil dari 1,339 ujian saringan yang direkodkan hasil dari 1,339 ujian saringan yang dilakukan dengan 25 sampel saringan masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD dilaksanakan di Kampung Mambong, Kuching kerana peningkatan kes yang ketara di lokaliti ini.

“KKM mengesahkan sebanyak 19 kes positif telah direkodkan hasil dari 36 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 53 peratus,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kesemua lokaliti tersebut berkuatkuasa 8 Julai sehingga 21 Julai 2021,” tambahnya.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes dan memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di dalam kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar dari lokaliti tersebut. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply