KUALA LUMPUR, 30 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menutup beberapa kawasan dan laluan yang menjadi lokasi sasaran kumpulan berbaju hitam yang mengajak masyarakat berkumpul di sekitar ibu kota, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sehingga jam 11 pagi juga pihaknya masih belum mengesan pergerakan mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti perhimpunan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya telah menutup semua laluan keluar dan masuk ke Dataran Merdeka serta mengawasi kawasan sekitar bangunan dan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut dan Jalan Raja Chulan bermula pagi tadi.
“Seramai 42 orang pegawai dan hampir 150 orang anggota Ibu Pejabat Polis Dang Wangi telah ditugaskan untuk membuat kawalan dan pemerhatian di lokasi-lokasi yang terlibat,
“Sehubungan itu saya menasihatkan masyarakat di sekitar ibu negara dan orang ramai untuk tidak berkumpul seperti yang diarahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui media di Dataran Merdeka, hari ini.
Dalam masa yang sama beliau turut berkata, pihaknya juga mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bergerak di beberapa lokasi masuk ke Kuala Lumpur khususnya menuju ke kawasan sasaran kumpulan berkenaan.
Tinjauan Air Times mendapati pihak polis telah membuat kawalan yang ketat di lokasi-lokasi yang menjadi sasaran perhimpunan itu.
Sebelum ini, viral satu video berdurasi 2 minit 40 saat yang memaparkan seorang individu memakai topeng muka mengajak orang ramai berhimpun bagi membantah pelaksananaan ‘lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi ‘operasi’ dikenali sebagai Black Democracy.
Video tersebut juga mengajak orang ramai untuk berkumpul di beberapa lokasi seperti Istana Negara, Dataran Merdeka, Masjid Putrajaya dan pejabat KWSP sebagai tanda protes kepada kerajaan.
Dalam video tersebut, individu yang menggunakan latar suara seperti robot itu menyeru orang ramai untuk menyertai operasi Black Democracy pada 30 Jun 2021 di beberapa lokasi pada jam 12 tengah hari dengan memakai baju berwarna hitam.
Individu tersebut juga menasihatkan orang ramai yang nak join pergerakan tunjuk perasaan itu untuk patuh SOP dengan hanya 2 orang dalam satu kenderaan dan tak boleh bawa kanak-kanak ikut sekali.
Isnin lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan yang dijadualkan pada jam 12 tengah hari tadi.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, tindakan akan dikenakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) ke atas pihak yang ingkar dengan dengan menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). -airtimes.my