Home Pertahanan dan Keselamatan 572 PATI ditangkap, diusir dari Sarawak sejak Januari lalu

572 PATI ditangkap, diusir dari Sarawak sejak Januari lalu

by Nurulhuda

KUCHING, 22 Jun – Seramai 572 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dan diusir ketika cuba menyelinap masuk ke negeri ini melalui lorong tikus di sempadan Sarawak dan Indonesia sejak Januari 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, kejayaan tersebut merupakan kerjasama yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak.

Menurutnya, usaha sama antara agensi tersebut dilaksanakan melalui operasi bersepadu yang diumumkan oleh kerajaan bagi mengekang aktiviti kemasukan PATI ke Sarawak melalui jalan darat.

“Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Mancha Ata berkata, dalam tempoh 6 bulan pertama dari Januari hingga Jun 2021 melalui tangkapan dan pengusiran oleh PGA serta Kontinjen Polis Sarawak, seramai 572 orang PATI telah berjaya ditangkap di sempadan Sarawak-Indonesia melalui lorong-lorong tikus,” jelasnya dalam hantaran di media sosial rasmi miliknya, pada Isnin.

Dr James berkata, dalam tempoh tersebut juga, seramai 45 orang tekong warga tempatan dan warga asing telah ditangkap di bawah Akta Antipemerdagangan Orang serta Antipenyeludupan Migran (ANTISOM) 2007.

Tambahnya, tangkapan dan pengusiran dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan serta Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pihak berkuasa menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemasukan PATI ke Sarawak agar memberi kerjasama dan menghubungi pihak berkuasa.

“Pada masa yang sama, diingatkan bahawa menyembunyikan dan memberi perlindungan kepada PATI merupakan suatu jenayah berat,” tegasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply