Home Semasa 15 kluster lagi dikesan, 11 libatkan jangkitan tempat kerja

15 kluster lagi dikesan, 11 libatkan jangkitan tempat kerja

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan pertambahan sebanyak 15 lagi kluster baharu yang sebahagian besarnya terdiri dari kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 kluster telah dikesan hasil saringan di tempat kerja dan ia membabitkan negeri Selangor yang mencatatkan 3 kluster baharu, Johor (3), Sabah (3), Sarawak (2) dan masing-masing 1 kluster di Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan serta Kedah.

Beliau berkata, Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau di Melaka dan PLO Perindustrian 65 di Johor antara 15 kluster baharu yang mencatatkan jumlah kes tertinggi hari ini.

“Seramai 31 orang telah disahkan positif hasil daripada 105 ujian saringan COVID-19 di Industri Jalan Usaha Merlimau, Melaka dan 27 individu di PLO Perindustrian 65, Tangkak, Johor,

“Selain itu, 3 kluster dikesan melibatkan jangkitan dari komuniti dan 1 dari institut pendidikan tinggi,” jelasnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di dalam negara, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 5,304 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak berkenaan dalam negara 657,508 kes.

Angka itu menunjukkan penurunan berbanding semalam yang dilaporkan sebanyak 5,793 kes.

Selangor masih lagi mencatatkan negeri tertinggi dengan pertambahan kes harian iaitu sebanyak 1,973 jangkitan diikuti Sarawak (544 kes) dan Kuala Lumpur (462 kes).

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, jumlah kematian baharu yang direkodkan hari ini ialah sebanyak 64 menjadikan jumlah kumulatif korban dalam negara ialah 3,908.

Berdasarkan jumlah jangkitan baharu yang dilaporkan pula, terdapat 5 kes import yang menerima jangkitan dari luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 73,324 kes,”jelasnya.

Sementara itu, jumlah kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 917 dan daripada jumlah itu, 452 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham turut mengesahkan kes sembuh melebihi jumlah kes baharu iaitu sebanyak 8,163 kes dan ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh sebanyak 580,276 kes. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply