Home Semasa Penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 membimbangkan – Dr Noor Hisham

Penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 membimbangkan – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) termasuk yang disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan telah mencecah hampir 1,200 kes, jumlah tertinggi sejak pandemik ini melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, dan ini menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis.

Tambahnya, keadaan ini sememangnya amat membimbangkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit-pesakit bukan COVID-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik ini.

Menurutnya, sebanyak 439 katil tambahan telah disediakan dalam tempoh 3 minggu sepanjang bulan Mei 2021.

“Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 buat masa ini telah mencapai 1,114 katil,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit COVID-19 telah ditambah, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100 peratus, sekali gus menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa.

“Dengan pertambahan kes baru harian yang telah mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.

“KKM akan terus mengenalpasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan,

“Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya,

“Namun, sumber tenaga manusia merupakan antara cabaran utama dan ramai anggota kita telah pun dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik ini,” ujarnya.

Tambahnya, anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit COVID-19.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai agar terus kekal duduk di rumah dan mematuhi SOP agar diri serta ahli keluarga dilindungi.

Sehingga semalam, Malaysia telah mencatatkan 9,020 kes baharu COVID-19, sekali gus menjadi yang tertinggi, pernah dilaporkan sejak penularan virus berkenaan di negara ini.

Manakala, seramai 98 pesakit COVID-19 telah menjadi mangsa korban akibat wabak ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian di Malaysia sebanyak 2,650 kes. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply