Home Semasa Hina Agong: Kenyataan Iswardy Morni tidak mewakili PKR – Fahmi Fadzil

Hina Agong: Kenyataan Iswardy Morni tidak mewakili PKR – Fahmi Fadzil

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kenyataan Iswardy Morni, yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mewakili PKR, malah sejak April parti sudah memberi amaran keras kepadanya.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya mengulangi perbuatan yang sama.

Fahmi Fadzil berkata, oleh kerana isu video Iswardy sudah menjadi kes siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), PKR akan menunggu hasil siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut terhadapnya.

“PKR mengesahkan Iswardy adalah seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hiraki pimpinan PKR Sarawak mahupun Pusat,

“Kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian parti PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ucapan Iswardy di dalam video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik PKR.

Terdahulu, Iswardy Morni yang juga merupakan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Iswardy memuat naik video secara siaran langsung berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di YouTube rasmi miliknya.

Dalam video itu, beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, dalam video sama, Iswardy turut membandingkan Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.

Sehingga hari ini, video siaran langsung itu mendapat tontonan sehingga 67,756 orang. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply