Home Semasa Hina Agong: Tiada kompromi, perbuatan satu jenayah – KDN

Hina Agong: Tiada kompromi, perbuatan satu jenayah – KDN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pemilik akaun Facebook ‘Iswardy Morni’ yang dipercayai mengeluarkan kenyataan mempersenda serta menghina Seri Paduka mengikut Seksen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong dan Institusi Diraja,

“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Bukit Aman juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,

“Perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah turut menjelaskan, KDN meminta pihak PDRM untuk memantau serta mengambil tindakan yang lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini demi memastikan Institusi Diraja, kedaulatan undang-undang serta ketenteraman awam kekal terpelihara.

Semalam, Iswardy Morni yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak mengeluarkan kenyataan menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dia juga didakwa memuat naik video berhubung Total Lockdown ‘Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini’.

Sehingga kini, video siaran langsung itu mendapat tontonan sehingga 84,698 orang. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply