Home Semasa Hanya 17 sektor dibenar beroperasi sepanjang ‘total lockdown’

Hanya 17 sektor dibenar beroperasi sepanjang ‘total lockdown’

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Semua aktiviti ekonomi dan sosial tidak dibenarkan beroperasi kecuali 17 sektor ‘essential services’ (perkhidmatan perlu) dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau ‘total lockdown’ bermula Selasa ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 17 perkhidmatan itu ialah yang melibatkan makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan; perniagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

“Begitu juga dengan perkhidmatan air; tenaga; keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan; urusan sisa pepejal; pengangkutan darat serta air,

“Perkhidmatan dan perusahaan pelabuhan, lapangan terbang; komunikasi termasuk media, telekomunikasi serta internet, pos, kurier penyiaran bagi tujuan penyampaian maklumat berita dan seumpamanya sahaja,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Beliau berkata, khidmat perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal; kredit komuniti termasuk pajak gadai, e-dagang dan teknologi maklumat, pengeluaran, penyulingan dan pembekalan bahan api serta pelincir turut dibenarkan.

“Begitu juga dengan hotel dan penginapan bagi tujuan kuarantin; pembinaan, penyelenggaraan, pembaikkan kritikal; perkhidmatan perhutanan; penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik terhadap kepada penyampaian perkhidmatan perlu,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, semua sektor perkilangan tidak dibenar beroperasi sepanjang tempoh ‘lockdown’ ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa operasi kilang dibenarkan beroperasi dengan jumlah pekerja tidak melebihi 60 peratus.

“Sektor perkilangan yang dibenarkan adalah aeroangkasa, bagi kilang makanan dan minuman, pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan makanan serta kesihatan, barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan kesihatan,

“Terdapat 12 sektor perkilangan yang dibenarkan dibuka dan lain-lain ditutup,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, menerusi ‘total lockdown’ itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply