Home Pertahanan dan Keselamatan 26 PATI Indonesia baru mendarat dicekup PGA, APMM

26 PATI Indonesia baru mendarat dicekup PGA, APMM

by Nurulhuda

KUALA SELANGOR, 26 Mei – Batalion ke-4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menahan 26 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan ladang kelapa sawit Sungai Janggut, Jalan Tambak Jawa, Jeram, semalam.

Pegawai Pemerintah Bn 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed dalam kenyataan semalam berkata, 26 PATI tersebut membabitkan 22 orang lelaki dan 4 wanita warga Indonesia berumur di antara 17 hingga 53 tahun ditahan ketika mereka baru mendarat di persisir pantai Sungai Janggut, Tambak Jawa, Jeram.

Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Jeram untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1957/63,

“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambahnya.

Rizal dalam masa yang sama turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply