Home Semasa Kuarantin wajib pengembara dilanjutkan 21 hari – Ismail Sabri

Kuarantin wajib pengembara dilanjutkan 21 hari – Ismail Sabri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Kerajaan telah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pelanjutan tempoh kuarantin wajib selama 21 hari ke atas pengembara yang tiba ke negara ini dan ia berkuat kuasa serta merta.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, pelanjutan tersebut di buat dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19 di dunia ketika ini apabila lebih 50 peratus negara melaporkan penularan ‘variant of concern’ (VOC) dalam komuniti.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memperketatkan SOP pelanjutan tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara yang tiba di Malaysia,

“Semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 3 hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 semasa tiba di pintu masuk antarabangsa.

“Tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk Malaysia dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal serta Pakistan dilanjutkan daripada 14 hari kepada 21 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya.

Beliau berkata, pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India, bagaimanapun dikekalkan.

“Tempoh kuarantin wajib dari semua negara lain dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,

“Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang dijalankan pada hari ke-14,

“Kuarantin tambahan itu akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama,” jelasnya.

Tambahnya, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dilakukan pada hari ke-10 dan sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 akan dibuat pada hari ke-18. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply