Home Semasa 61 pesakit meninggal dunia akibat COVID-19 hari ini

61 pesakit meninggal dunia akibat COVID-19 hari ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Angka korban akibat COVID-19 di Malaysia pada hari ini terus meningkat dengan 61 kes lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, sekaligus menjadikan kes kumulatif maut di dalam negara kini meningkat kepada 2,309 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majoriti kes kematian dilaporkan hari ini adalah di kawasan Lembah Klang dengan 21 kes melibatkan 16 di Selangor dan 5 di Kuala Lumpur, diikuti masing-masing 6 kes di Melaka dan Pulau Pinang; 4 kes di Kedah; 3 kes di Sarawak, Negeri Sembilan, dan Pahang; 2 kes di Terengganu serta masing-masing 1 kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, kes kematian melibatkan kesemua warga negara Malaysia dalam lingkungan umur antara 34 hingga 98 tahun dengan majoriti individu menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, dalam tempoh sama, kes baru COVID-19 mencatatkan 6,509 kes hari ini berbanding 6,976 kes semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 512,091 kes.

“Selangor kekal merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 2,049 kes diikuti Sarawak sebanyak 530 kes dan Johor serta Kuala Lumpur masing-masing sebanyak 468 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai penularan wabak COVID-19 pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, kes baru melibatkan 6,486 kes penularan tempatan dan 20 kes import menjadikan kes aktif kini sebanyak 60,018 kes.

Dalam pada itu, jumlah individu yang dirawat dalam Unit Rawat Rapi (ICU) setakat ini ialah seramai 711 kes dengan 369 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham mengesahkan, sebanyak 20 kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini, 8 daripadanya libatkan penularan dari tempat kerja, komuniti setempat (6); aktiviti keagamaan (3), satu masing-masing melibatkan aktiviti dari istitusi pendidikan, kumpulan berisiko tinggi dan kes import. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply