Home Semasa APMM tahan bot nelayan Thailand langgar syarat sah lesen

APMM tahan bot nelayan Thailand langgar syarat sah lesen

by Nurulhuda

LUMUT, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 4 kru termasuk tekong warga Thailand kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan lebih kurang 7.7 batu nautika timur laut, Pulau Jarak pada Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan berkenaan dilakukan oleh Kapal Maritim (KM) MALAWALI yang sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Pintas (OP Pintas) di persempadanan perairan negeri Perak.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu dikendalikan 4 kru warga Thailand termasuk tekong berumur dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun,

“Ketika ditahan, bot itu sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Jarak dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan,

“Kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM, semalam.

Menurut Shahrizan, kru dan tekong serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 300 kilogram telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Perak bagi tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, Shahrizan menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap ke Pusat Operasi Maritim Perak bagi untuk keselamatan bersama. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply