Home Semasa Semua sekolah di Selangor ditutup mulai esok

Semua sekolah di Selangor ditutup mulai esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Semua sekolah di Selangor akan ditutup bermula esok sehingga 12 Mei depan bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Izmi Ismail berkata, keputusan itu dibuat setelah Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) mengesyorkan penutupan itu dilaksanakan.

“Syor JKKNS ini adalah satu usaha untuk mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri Selangor,

“Mengambil kira bahawa sesi persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari, maka KPM memutuskan agar semua sekolah bawah KPM di negeri Selangor ditutup pada 6 Mei dan 7 Mei 2021,

“Penutupan ini akan berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri sepertimana yang diumumkan oleh KPM pada 26 April 2021,” katanya dalam surat pekeliling yang dikeluarkan, hari ini.

Izmi berkata, pergerakan pulang murid asrama sempena cuti Aidilfitri tahun ini adalah sama seperti yang dijadualkan oleh pihak sekolah.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa/penjaga, pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang ditetapkan,” katanya.

Bermula esok, 6 daripada sembilan daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 17 Mei 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam berkata, ia membabitkan 6 daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19.

3 daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply