Home Pertahanan dan Keselamatan Helah guna bot nelayan tempatan, 5 kru Myanmar ditahan APMM

Helah guna bot nelayan tempatan, 5 kru Myanmar ditahan APMM

by Nurulhuda

KUANTAN, 6 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 5 krew termasuk tekong warga Myanmar pada jarak kira- kira 1.7 batu nautika tenggara Kuala Kuantan pada Selasa lalu.

Pengarah Maritim negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan, telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan bergerak dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim.

Menurutnya, selepas ditahan, anggota mendapati bot dikendalikan 5 kru termasuk tekong warga Myanmar, berumur antara 24 sehingga 42 tahun.

“Mereka ditahan kerana melakukan kesalahan iaitu tidak mempunyai permit kerja yang sah serta lesen vesel telah tamat tempoh,

“Kesemua mereka bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 400 kilogram ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Kuantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM, semalam.

Amran menjelaskan, kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat lesen dan syarat pas kerja.

Beliau turut menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta syarat sah lesen dan mengutamakan keselamatan apabila berada di laut. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply