Home Pertahanan dan Keselamatan Pesawat CN235 TUDM terbangkan 274 vials vaksin Pfizer ke Sarawak

Pesawat CN235 TUDM terbangkan 274 vials vaksin Pfizer ke Sarawak

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Apr – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan sebanyak 274 vials vaksin jenis Comirnaty Pfizer BioNtech ke Sarawak, semalam.

TUDM dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, penghantaran menggunakan pesawat CN235 dari No 1 Skn, Pangkalan Udara Kuching telah dikoordinasi oleh Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) bagi suntikan vaksin tersebut kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Sibu, Bintulu dan Miri.

“Sebelum ini, No. 1 Skn telah melaksanakan penghantaran sebanyak 171 vials vaksin pada 12 Mac yang lalu bagi keperluan suntikan vaksin 1 Div,

“Proses memuatnaik yang menggunakan ‘vaccine carrier box’ ke dalam pesawat bermula seawal jam 8.30 pagi oleh anak kapal pesawat CN235 dengan dibantu oleh tim perubatan tentera yang diketuai oleh Kapten Amirah Khan,

“Pesawat telah diterbangkan pada jam 9.10 pagi dengan penghantaran pertama ke Sibu dan seterusnya ke Bintulu serta Miri. Proses penghantaran mengambil masa hampir 8 jam yang mana kesemua anak kapal selamat tiba semula di PU Kuching pada jam 5 petang,” katanya.

Dalam pada itu, pesawat ini telah dikendalikan oleh Mejar Noorihtifazuddin Sabaludin TUDM, Mejar Emy Hazrie Norazmy TUDM serta Kapten Mohamad Hafizan Mos TUDM selaku juruterbang dan Kapten Muhammad Fikri Hanif Mohamad Hanafi TUDM dan Kapt Amirul Afiq bin Roslan TUDM selaku pembantu juruterbang.

“Anak kapal lain yang turut terlibat adalah Kuartermaster Udara (AQM) iaitu FSjn Mohd Izwan Jalaluddin serta Sjn U Ahsannunas Mohd Toib bersama seorang pramugari udara iaitu Sjn U (W) Aimy Amira Ahmad,” ujarnya.

Menerusi hantaran itu, TUDM berkata akan terus melaksanakan penugasan penghantaran vaksin sekiranya diperlukan bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat dilaksanakan dengan segera mengikut masa yang ditetapkan. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply