Home Semasa Kes positif COVID-19 turun kepada 1,470 kes – Dr Noor Hisham

Kes positif COVID-19 turun kepada 1,470 kes – Dr Noor Hisham

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kes baharu COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan penurunan iaitu kepada 1,470 kes pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 322,409 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat sebanyak 12 kes import direkodkan mendapat jangkitan di luar negara.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini ialah sebanyak 16,711 kes.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 mengikut negeri, Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi dengan pertambahan sebanyak 551 kes.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 473 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,

“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 222 kes dan Pulau Pinang sebanyak 178 kes,” jelasnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham menjelaskan sebanyak 1,830 kes sembuh COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam hari ini, sekaligus mencatat jumlah kumulatif sebanyak 304,492 kes.

“Seramai 162 pesakit COVID-19 menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 70 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,”ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan terdapat pertambahan sebanyak 3 kes baharu kematian menjadikan jumlah kes kematian secara keseluruhannya kini 1,206 kes kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing 1 kes di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Terengganu. Ketiga-tiga kes merupakan warganegara Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata 2 kluster baharu dikesan hari ini dan kedua-dua kluster baharu ini merupakan kluster berkaitan tempat kerja. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply