Home Semasa Op Benteng: Degil, 14 PATI ditahan lagi semalam

Op Benteng: Degil, 14 PATI ditahan lagi semalam

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi bersepadu itu turut merampas 5 kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 81 bot dan kapal di perairan negara serta 2 kenderaan darat melalui 7 aktiviti penglihatan,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Op Benteng Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 607 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

“Op Penawar yang melibatkan ATM, PDRM dan RELA sebanyak 552 SJR, Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” ujarnya.

Sementara itu, pasukan Task Force Operasi Pematuhan PDRM pula telah menahan 643 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP), semalam.

“Daripada jumlah itu, 623 telah dikompaun dan 20 individu direman,

“Antara kesalahan ingkar SOP adalah tidak memakai pelitup muka (114); rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (112); tiada penjarakan fizikal (133); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri dan pelanggan (112); premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (34); keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66),” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!