Home Pertahanan dan Keselamatan Ops Benteng: 9 bot nelayan Indonesia cabut lari selepas ternampak KD MAHAWANGSA

Ops Benteng: 9 bot nelayan Indonesia cabut lari selepas ternampak KD MAHAWANGSA

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengesahkan sebanyak 9 bot nelayan Indonesia telah dikesan menceroboh perairan negara di Selat Melaka.

Kejadian berlaku pada pukul 1.09 petang tadi di 44 batu nautika tenggara Pulau Perak.

Menurut TLDM, kehadiran kapal KD MAHAWANGSA telah disedari oleh para nelayan penceroboh terbabit yang kemudiannya bertindak beredar keluar dari perairan negara.

“KD Mahawangsa yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Benteng telah mengesan kehadiran kesemua bot nelayan Indonesia tersebut,

“Menyedari kehadiran KD Mahawangsa, kesemua nelayan terbabit segera beredar keluar dari perairan negara,” kata TLDM dalam satu kenyataan.

Menurutnya, operasi pengusiran turut dibantu oleh pesawat CL-415MP Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kerjasama pelbagai agensi keselamatan di bawah National Task Force semasa menjalankan operasi di laut dapat mengekang pencerobohan nelayan Indonesia yang mencuri hasil laut negara,

“KD Mahawangsa seterusnya kekal melaksanakan rondaan untuk mengekang kegiatan sebegini,” ujarnya.

Semalam, sebanyak 8 buah bot nelayan Indonesia telah diusir oleh KD Mahawangsa di perairan Pulau Perak.

Op Benteng merupakan operasi bersama yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama 18 agensi lain.

Operasi ini bertujuan untuk memperkukuhkan sempadan negara dari sebarang bentuk pencerobohan termasuk oleh Pendatang Asing Tanpa Izin yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 dalam komuniti. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply