Home Semasa Rampasan kuasa di Myanmar: Malaysia perlu desak pemimpin NLD dibebas segera

Rampasan kuasa di Myanmar: Malaysia perlu desak pemimpin NLD dibebas segera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata Malaysia perlu memanggil segera mesyuarat Menteri Luar ASEAN untuk mencari penyelesaian mengenai pergolakan politik di Myanmar.

Mohamad dalam satu kenyataan semalam berkata, rampasan kuasa tentera Myanmar telah merencatkan reformasi ke arah demokrasi negara itu.

“Malaysia juga perlu segera mendesak agar semua pemimpin parti The National League for Democracy (NLD) di bebaskan segera dari tahanan dan hak asasi mereka di hormati,

“Junta tentera wajar menghormati keputusan pilihanraya umum pada November lepas yang memberikan kemenangan besar kepada NLD, iaitu sebanyak 356 dari 412 kerusi,” katanya.

Menurutnya, ASEAN tidak lagi boleh hanya menjadi pemerhati terhadap konflik yang berlaku di Myanmar.

“Mengembalikan demokrasi dan memelihara kepentingan hak asasi manusia adalah urusan ASEAN dan ia mesti menjadi pencatur keamanan yang diyakini untuk rantau ini,” ujarnya.

Semalam, tentera Myanmar telah menahan pemimpin NLD termasuk Aung San Suu Kyi.

Tentera Myanmar mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya umum November tahun lalu, dan NLD telah memenangi dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan.

Selepas penahanan pemimpin NLD, pihak tentera telah mengisytiharkan darurat di Myanmar selama setahun. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply