Home Pertahanan dan Keselamatan ATM sentiasa peka, tangani penularan COVID-19 dikalangan anggota tentera

ATM sentiasa peka, tangani penularan COVID-19 dikalangan anggota tentera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan satu mesej yang tular di aplikasi khidmat pesanan ringkas mendakwa pasukan itu gagal mengambil tindakan awal bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 dalam kalangan anggotanya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM menegaskan kes positif COVID-19 di kalangan warga ATM telah ditangani dengan sewajarnya berdasarkan prosedur dan arahan yang dikeluarkan kepada setiap pemerintahan oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

“Ini adalah termasuk tindakan awal yang perlu diambil oleh anggota sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan serta aspek kawalan penularan COVID-19 yang perlu dilaksanakan oleh setiap pasukan termasuk pengesanan kontak rapat,

“Adalah tidak dinafikan bahawa risiko kebolehjangkitan wabak ini di kalangan warga ATM adalah sama sepertimana yang berlaku di kalangan masyarakat Malaysia,

“Walau bagaimanapun, melalui pengarahan yang dikeluarkan setiap anggota diingatkan untuk memahami aspek kawalan kendiri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, ini termasuk tindakan yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan samada semasa bertugas mahupun menguruskan kehidupan sosial bersama keluarga dan komuniti berhampiran.

“ATM sentiasa memastikan setiap peringkat keanggotaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang telah ditetapkan bagi memastikan kesiagaan mereka berada ditahap terbaik sebilang masa kerana mereka merupakan petugas barisan hadapan negara,

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mewujudkan kebimbangan atau sebarang kegusaran di kalangan masyarakat setempat,” ujarnya. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply