Home Pertahanan dan Keselamatan Op Murni akan diteruskan sehingga musim tengkujuh berakhir

Op Murni akan diteruskan sehingga musim tengkujuh berakhir

by Nurulhuda

KUANTAN, 10 Jan – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membantu penduduk yang terjejas akibat banjir melalui Op Murni sehingga musim tengkujuh berakhir.

Menurut beliau, Op Murni akan dilaksanakan melalui dua fasa utama.

“Pada fasa pertama, sewaktu kita membantu memindahkan mangsa banjir, ATM telah mengatur gerakan 5 ribu anggota tentera, menggerakkan pelbagai aset untuk mengangkut barangan dan keperluan mereka,

“ATM turut mengatur gerakan helikopter dan pelbagai aset lain bagi membantu menghantar bantuan ke kawasan yang terputus hubungan,”katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan, malam tadi.

Menurutnya, keperluan yang diberikan bukan sahaja melalui barangan makanan, tetapi termasuklah keperluan asas seperti pakaian, tilam, bantal dan selimut kepada mangsa banjir.

Bagi fasa kedua Op Murni pula, ATM akan bekerjasama dengan pihak Pusat Pengurusan Bencana Daerah untuk melaksanakan perkhidmatan yang diperlukan selepas pasca banjir.

“Selepas banjir, anggota tentera sedia membantu mangsa serta keluarga untuk pulang ke rumah sekiranya mereka memerlukan bantuan pengangkutan,

“Saya percaya, aktiviti pembersihan akan dilakukan di tempat kediaman serta tempat awam. Anggota tentera tetap bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Terdahulu, Ismail Sabri telah melawat 2 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang 2, Kelantan dan SK Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu.

Seramai 306 orang mangsa daripada 87 buah keluarga telah ditempatkan di PPS SK Rantau Panjang 2 dan 537 mangsa daripada 139 keluarga di PPS SK Bukit Mentok, Kemaman.

Manakala, seramai 196 mangsa daripada 48 buah keluarga telah ditempatkan di SMK Mat Kilau sejak ia dibuka pada 8 Januari lalu.

Musim tengkujuh dijangka berakhir pada Mac ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply