Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal kargo bersauh tanpa kebenaran

by Nurulhuda

SEREMBAN, 8 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal kargo kerana kesalahan bersauh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 3.9 batu nautika barat Pulau Arang-Arang, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan itu adalah hasil perkongsian maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia mengenai sebuah kapal kargo yang sedang berlabuh di pelabuhan Negeri Sembilan.

Sejurus menerima maklumat katanya, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) Laut terus ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, setibanya di lokasi, anggota Penguat Kuasa APMM telah membuat pemeriksaan ke atas kapal kargo tersebut iaitu MV Bistari yang berdaftar di Ulaanbaatar, Mongolia.

“MV Bistari dikendalikan 7 kru termasuk nakhoda kapal yang merupakan warga Indonesia berusia antara 21 hingga 53 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal kargo tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,

“Kapal tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Haris Fadzillah menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan operasi penguatkuasaan bagi membenteras serta menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

“Oleh itu katanya, orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut kepada pihak berkuasa,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply