Home Semasa 1,388 individu ditahan ingkar PKP sempena tahun baru

1,388 individu ditahan ingkar PKP sempena tahun baru

by Shahir Ali

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 1,388 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa cuti tahun baru, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah yang ditahan semalam, seramai 1,352 telah dikenakan kompaun manakala 32 direman dan 4 lagi dijamin.

“Antara kesalahan yang kerap dilakukan iaitu ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (623), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (424), tidak memakai pelitup muka (137), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (118) dan lain-lain (86),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, sebanyak 2,435 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,200 anggota telah membuat pemantauan di 3,371 pasar raya, 4,465 restoran serta 1,711 penjaja, 1,384 kilang, 3,251 bank dan 461 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 911 terminal pengangkutan darat, 240 terminal pengangkutan air serta 95 terminal pengangkutan udara,” tambahnya.

Sementara itu, Operasi Benteng (Op Benteng) yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah menahan 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Sebanyak 105 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan semalam melibatkan Op Penawar (ATM, PDRM dan RELA) yang melaksanakan 41 SJR.

“Op Benteng PDRM pula 55 SJR dan Op Benteng AKSEM telah melaksanakan 9 SJR,

“Kerajaan akan terus berusaha mengekang mana-mana pihak cuba memasuki sempadan negara secara haram. Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” ujarnya – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply