Home Semasa PKPP dilanjutkan di seluruh negara kecuali 3 negeri

PKPP dilanjutkan di seluruh negara kecuali 3 negeri

by Azura Daril

KUALA LUMPUR, 1 Jan – Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sepatutnya ditamatkan pada 31 Disember 2020 dilanjutkan di seluruh negara kecuali Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPP di seluruh negara mulai 1 Januari hingga 31 Mac depan.

“Penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati peningkatan kes yang ketara masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,

“Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKPP hari ini.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuatkuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Bagi aktiviti pelancongan pula, ianya masih mengikut ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini tetapi perlu mematuhi SOP,

“Masyarakat dikehendaki mengamalkan 3W iaitu memakai pelitup muka (Wear), kerap mencuci tangan (Wash) dan memberi amaran kepada masyarakat sekeliling untuk patuh kepada SOP (Warn),

“Tetapi masyarakat juga diingatkan untuk mengelakkan 3C iaitu tempat sempit (Confine space), kesesakan (Crowded place) dan bercakap rapat (Close conversation) bagi mencegah diri dari dijangkiti virus COVID-19,” jelasnya.

Beliau turut mengharapkan agar semua rakyat dapat sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri untuk terus selamat.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut menjelaskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Ria, Jalan Genting, Bentong ditamatkan hari ini lebih awal dari yang dijadualkan pada 6 Januari 2021.

PKPD ini ditamatkan setelah KKM selesai melaksanakan 1,042 ujian saringan dan daripada jumlah itu hanya 2 kes positif COVID-19 telah direkodkan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply