Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS tak perlu buat pilihan sama ada bersama Muafakat Nasional atau tidak – Takiyuddin

PAS tak perlu buat pilihan sama ada bersama Muafakat Nasional atau tidak – Takiyuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mana-mana pihak tidak perlu meminta PAS untuk memilih sama ada hendak bersama Muafakat Nasional (MN) atau tidak.

Beliau berkata, kerana PAS adalah watak utama yang merangka dan berusaha menubuhkan MN atas dasar penyatuan ummah serta berpegang teguh dengan Piagam MN yang dimeterai antara UMNO dan PAS pada 14 September 2019.

“Piagam MN bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara,

“PAS turut mempertegaskan betapa MN perlu dijadikan amalan musyawarah dalam memperkasakan agenda Islam, Melayu, Bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan negara demi membangunkan negara inklusif, sejahtera dan menjamin keadilan sosial merentasi batas warna kulit mahupun anutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, PAS berpandangan MN bukanlah milik eksklusif sesuatu parti atau kelompok, sebaliknya harus dibuka kepada semua kalangan yang cintakan perpaduan, keharmonian dan keadilan di dalam negara ini.

“Dengan mengekalkan komitmen yang mantap dalam agenda besar MN, adalah jelas dari sudut pendekatan dan strategi politik tiada suatu pun halangan yang dikenakan untuk UMNO daripada kekal bersama Barisan Nasional (BN) mahupun untuk PAS dari menyertai mana-mana gabungan atau kerjasama politik,

“Apa yang penting adalah gabungan UMNO dan PAS boleh malah perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai cita-cita yang sama dalam menghadapi PRU15 dengan suatu persefahaman yang jitu khususnya tiada pertembungan sesama sendiri yang menguntungkan pihak lain,” ujarnya.

Tambahnya, PAS amat yakin bagi mencapai cita-cita dan hasrat ini semua pihak perlu meneroka jalan damai dan saling menerima serta hormat menghormati, bukan sebaliknya.

Takiyuddin berkata demikian dipercayai bagi mengulas gesaan dari beberapa pihak, khususnya daripada UMNO yang mahu PAS membuat keputusan dan pendirian hala tujunya sama ada bersama dengan MN atau Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply