Home Pertahanan dan Keselamatan Berlabuh tanpa kebenaran, APMM tahan kapal tangki di perairan negara

Berlabuh tanpa kebenaran, APMM tahan kapal tangki di perairan negara

by Air Times News Network

TANJUNG KLING, 31 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan lebih kurang 4.9 batu nautika barat daya dari Pulau Upeh, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, penahan tersebut dilakukan berikutan maklumat daripada Jabatan Laut Malaysia berkenaan sebuah kapal tangki sedang berlabuh di luar batas pelabuhan Melaka.

“Maklumat pengesanan itu telah disampaikan kepada bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rutin operasi harian di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,

“Berikutan itu, MT TAHITTI IMO No.9600877 yang berdaftar di Malta telah ditahan sekitar jam 1.15 tengahari setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM.

Menurut Azman, kapal tangki itu dikendalikan 26 kru warga Republik of Hellenic, Romania, Filipina dan Rusia berusia antara 19 hingga 56 tahun.

“Kapal tersebut telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut,

“Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Selain itu, orang ramai diminta agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply