Home Politik AMANAH nafi bagi Anwar tempoh 7 hari untuk jatuhkan PN

AMANAH nafi bagi Anwar tempoh 7 hari untuk jatuhkan PN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menafikan bahawa mereka memberi tempoh selama 7 hari kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, laporan sebuah portal berita bertajuk “Amanah gives Anwar 7 days to oust Muhyiddin, say sources” adalah tidak betul dan berniat untuk melaga-lagakan AMANAH dengan Anwar.

“Ini kerana, bagi AMANAH, kedudukan Ketua Pembangkang dan mendapatkan kembali kerajaan dari PN adalah dua perkara yang berbeza,

“Kedudukan Ketua Pembangkang diputuskan melalui perbincangan antara komponen parti bukannya hak atau tanggungjawab AMANAH sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Nasional AMANAH baru-baru ini hanya memutuskan AMANAH yang menghargai kesediaan Anwar untuk mengambil tanggungjawab dengan apa yang berlaku pada 26 November lepas di Dewan Rakyat.

“Bagaimanapun, kita juga telah bersetuju untuk berbincang bersama dengan rakan-rakan gabungan apa yang patut dibuat seterusnya selepas peristiwa itu,

“Oleh itu, adalah tidak benar sama sekali untuk mengatakan AMANAH memberikan kata dua (ultimatum) kepada rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan,

“Memberi kata dua kepada rakan-rakan gabungan bukan budaya AMANAH,” ujarnya.

Terdahulu portal berita tersebut memetik sumber berkata, AMANAH bersetuju memberi peluang kepada Anwar mengotakan janji melepaskan jawatan Pengerusi Pakatan Harapan dan Ketua Pembangkang selepas gagal menumbangkan kerajaan PN dalam tempoh tujuh hari selepas pembentangan Belanjawan 2021. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply