Pelabuhan Klang, 30 Nov – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor telah mematahkan cubaan 2 warga tempatan untuk menyeludup keluar 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama 40 kotak durian, di kedudukan 4.1 batu nautika barat daya Tanjung Gabang, pada Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tersebut dipintas dan ditahan berikutan maklumat risikan dan pengesanan radar sistem pengawasan laut ( SWASLA) yang mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran serta mencurigakan yang sedang menuju ke perairan antarabangsa.
Menurutnya, ketiga-tiga PATI bersama 2 warga tempatan yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 56 tahun.
“Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menyeludup keluar 3 PATI dan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana menyeludup durian tanpa permit import,” katanya dalam hantaran di laman sosial APMM.
Tambahnya, Rosli berkata, APMM akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan PATI di perairan Selangor. –airtimes.my