Home Pertahanan dan Keselamatan COVID-19: Najib cadang penyeludup PATI dikenakan SOSMA

COVID-19: Najib cadang penyeludup PATI dikenakan SOSMA

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, mencadangkan kepada kerajaan agar mengenakan hukuman di bawah Akta Keselahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Beliau berkata, tindakan ini perlu dilaksanakan kerana PATI adalah menjadi ancaman terbesar kepada penularan wabak pandemik COVID-19 di negara ini.

“Pada pendapat saya, antara ancaman terbesar negara pada ketika ini adalah pencerobohan sempadan negara oleh PATI dari negara-negara jiran yang terus mencatat kes COVID-19 terbaru yang amat tinggi,

“Saya mencadang agar warganegara Malaysia yang ditangkap atau terlibat dalam penyeludupan PATI dikenakan tindakan di bawah Akta SOSMA memandangkan ini merupakan zaman ‘perang’ dan tindakan ini mengancam keselamatan seluruh negara,

“Tanpa pertolongan dari pihak dalam (rakyat Malaysia), adalah lebih sukar bagi PATI untuk diseludup masuk,” katanya dalam sesi perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, tiada guna seluruh negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama berbulan-bulan sehingga COVID-19 pulih dan kerajaan terpaksa memperuntukan bantuan berbilion-bilion tetapi disia-siakan oleh penceroboh PATI ke dalam negara.

“Rakyat sudah fobia dengan 3 huruf PKP ini. Setiap kali rakyat melihat perkataan ini, ia membawa maksud pendapatan akan terjejas dan kebebasan mereka akan terbatas,

“Dan bagi memastikan sokongan rakyat tetap terhadap kerajaan hari ini, COVID-19 mesti dikawal baik. Harap kesilapan-kesilapan seperti ini tidak diulangi dan segala kelemahan diperbaiki,” tambahnya.

Selain itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri ke- 6 turut mencadangkan agar kerajaan memberi amaran tegas serta disampaikan kepada negara-negara jiran sekiranya didapati bersalah dengan membawa masuk PATI, meraka akan dikenakan hukuman berat iaitu penjara mandatori.

“Mungkin kerajaan juga boleh mempertimbangkan dengan memberi ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penyeludipan PATI, agar masalah ini dapat diatasi,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply