KUALA LUMPUR, 8 Nov – Semua sekolah di seluruh negara ditutup mulai 9 November sehingga sesi persekolahan tamat pada tahun ini.
Sesi peperiksaan umum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia turut ditunda sehingga tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan dibuat bagi membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Menurut beliau, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sabah yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melibatkan penutupan 74 peratus sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“KPM telah memutuskan bahawa semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di bawah KPM di negeri-negeri yang terlibat akan ditutup sehingga akhir persekolahan pada tahun ini,
“Semua sekolah di Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak ditutup,” kata Radzi dalam satu sidang media, hari ini.
Beliau menjelaskan penggal persekolahan Tahun 2021 akan bermula pada 20 Januari 2021.
“Semua murid sekolah rendah, Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6 dan semua murid Kolej Vokasional akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut,
“Pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru serta murid,
“Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021,” kata Menteri Pendidikan.
Menyentuh peperiksaan SPM dan STPM sesi 2020, Menteri menjelaskan kesemua calon akan meduduki ujian terbabit pada Februari dan Mac 2021.
“Peperiksaan SPM/SVM/STAM akan bermula pada 22 Februari 2021. Manakala, peperiksaan STPM pula akan bermula pada 8 Mac 2021,
“Mereka akan menyambung persekolahan masing-masing mulai 20 Januari 2020 bagi membantu mereka membuat persediaan secukupnya,” ujar Radzi. – airtimes.my