KUALA LUMPUR, 8 Nov – Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dipotong seperti mana didakwa oleh sesetengah pihak.
Beliau dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya berkata, peruntukan untuk KKM adalah lebih tinggi berbanding tahun 2020.
“Dalam Belanjawan 2021, KKM menerima peruntukan sebanyak RM 31.9 bilion berbanding RM 30.6 bilion pada tahun 2020,
“Hakikatnya, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis (consumables) sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah Program Khusus,” katanya yang menjelaskan punca butiran Perubatan menunjukkan pengurangan.
Dalam Belanjawan 2020, sebanyak RM 14.2 bilion diperuntukkan untuk butiran tersebut berbanding RM 11.3 bilion yang diumumkan baru-baru ini.
“Hakikatnya, tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, peruntukan sebanyak memperuntukkan RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan COVID-19.
“Ini termasuk RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan kita,
“RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19,” jelasnya lagi.
Tengku Zafrul turut menambah, kerajaan telah memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan kesihatan awam berkaitan wabak itu.
“Kerajaan tidak akan berkompromi di dalam usaha melindungi nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia,” tegasnya. – airtimes.my