Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat Malaysia laksana saringan COVID-19 di Kem Cenderawasih

Tentera Darat Malaysia laksana saringan COVID-19 di Kem Cenderawasih

by M.Daim

LAHAD DATU, 18 Okt – Markas 13 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan saringan secara besar-besaran terhadap semua pegawai dan anggota mereka di Kem Cenderawasih.

“Saringan melibatkan 266 anggota ini dilaksanakan di Klinik Kesihatan Tungku dan Klinik Kesihatan Felda Sahabat,

“Ia merangkumi semua pegawai dan anggota yang bertugas serta terlibat dalam operasi di Markas 13 Briged Infantri,” kata pihak 13 Briged di akaun media sosial rasminya.

Saringan yang dilaksanakan semalam turut melibatkan Panglima 13 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain dan isteri beliau.

Menurut 13 Briged, saringan ini dilakukan bagi memastikan tiada rangkaian COVID-19 di Kem Cenderawasih.

“Ianya merupakan langkah-langkah inisiatif pencegahan di samping mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),

“Saringan ini turut melibatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.

Saringan besar-besaran ini libatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Foto: Markas 13 Briged

Situasi COVID-19 di Sabah memuncak apabila kerajaan telah mengenakan PKPB di seluruh Negeri Di Bawah Bayu selama 14 hari mulai 13 Oktober.

Perintah ini dilaksanakan lantaran peningkatan kes secara mendadak di Sabah.

Lahad Datu merupakan antara 4 kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) semenjak 28 September lalu.

Dari 81 kluster aktif di seluruh negara, terdapat 4 kluster di kesan di bahagian ini yang terdiri daripada Kluster Benteng LD, Kluster Teduh, Kluster Khazanah dan terbaharu, Kluster Kasih.

Selain itu, Lahad Datu mempunyai 2 kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari iaitu di Taman Khazanah Indah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Mutiara Kasih.

PKPD di kedua-dua kawasan ini telah dikuatkuasakan semenjak 13 Oktober lalu dan dijangka tamat pada 26 Oktober. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply