Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan Tawau hampir siap 70 peratus

Hospital Medan Tawau hampir siap 70 peratus

by M.Daim

TAWAU, 18 Okt – Matlamat untuk mengoperasikan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia Tawau mulai 20 Oktober ini dijangka akan tercapai apabila 70 peratus daripada fasiliti terbabit hampir siap.

Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, persiapan peralatan dan kelengkapan Hospital Medan ATM di Kompleks Sukan Tawau melibatkan kemudahan perubatan dari Bravo Kompeni Batalion Pertama Perubatan (B Komp 1 Bn Ubat) yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu.

Antara barangan perubatan dan kelengkapan Hospital Medan ATM yang dibawa oleh pesawat A400M TUDM tiba di Lapangan Terbang Tawau. Foto: Air Times/M Daim

“Fasa pertama Hospital Medan ATM kini mencapai 70 peratus dan dijangka mampu untuk memulakan operasi seperti yang dijadualkan mulai 20 Oktober,” kata 5 Divisyen yang memetik kenyataan Komander Hospital Medan ATM Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad.

Hospital Medan ini akan dikendalikan oleh Tim Induk yang melibatkan anggota perubatan dari Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, 96 HAT Lumut, 94 HAT Terendak serta Batalion Kedua Perubatan serta elemen perubatan ATM dari Semenanjung Malaysia.

Semalam, sebuah pesawat pengangkut taktikal A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan misi penerbangan ke Sabah.

Misi penerbangan A400M dari No 22 Skuadron semalam telah membawa 33 anggota tentera dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) untuk mengendalikan Hospital Medan ATM Tawau. Foto: TUDM

Selain menerbangkan bekalan perubatan dan peralatan hospital, pesawat ini turut membawa seramai 4 pegawai serta 29 anggota yang membentuk Tim Induk untuk mengoperasikan Hospital Medan ATM Tawau.

Ujian penuh sistem di Hospital Medan ATM Tawau akan dilaksanakan pada 19 Oktober ini.

Hospital ini diaktifkan bagi memberi ruang kepada Hospital Tawau untuk terus menerima pesakit COVID-19.

Hospital Medan ATM pula akan bertanggungjawab dalam menerima kes-kes perubatan yang tidak mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Selain itu, hospital ini juga mempunyai kemudahan 100 katil dan pelbagai jenis wad. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply