SUBANG, 18 Okt – Ketua Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan mengesahkan sebanyak 30 ribu sampel COVID-19 telah diterbangkan dari Sabah dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.
“Pesawat A400M telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membawa bekalan perubatan ke Sabah dan membawa balik sampel secara harian di Sabah,
“Sehingga kini, TUDM telah menerbangkan 30 ribu sampel COVID-19 dari Negeri Di Bawah Bayu,” katanya di Pangkalan Udara Subang, semalam.
Terdahulu, TUDM telah menghantar sebuah pesawat A400M dari No 22 Skuadron untuk membawa 14 tan barangan perubatan dan peralatan Hospital Medan ke Tawau.
Pesawat yang dikendalikan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM turut membawa Tim Induk Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia di Tawau yang terdiri daripa seramai 33 anggota dari Kor Kesihatan Diraja (KKD).
Pelaksanaan misi penerbangan 12 jam ini turut dibantu oleh Kapt Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor TUDM sebagai Pembantu Juruterbang serta 5 orang krew.
Pesawat ini turut membawa pulang sampel COVID-19 dari Tawau, Kota Kinabalu, dan Labuan.
Selain A400M, pesawat pengangkut C-130H dari No 20 Skn Pangkalan Udara Subang turut terlibat dalam melaksanakan penghantaran peralatan perubatan KKM ke Sabah.
“Bantuan penerbangan ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa tertakluk kepada sebarang keperluan semasa,” kata pihak TUDM dalam satu kenyataan, semalam. – airtimes.my