Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Perlis patahkan cubaan seludup daun ketum bernilai RM15 ribu

APMM Perlis patahkan cubaan seludup daun ketum bernilai RM15 ribu

by Nurulhuda

KUALA PERLIS, 14 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 500 kilogram daun ketum yang dianggakan bernilai RM15 ribu ke negara jiran di perairan Kuala Perlis, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, ketika bot melakukan Op Khas, bot peronda APMM mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan menuju ke negara jiran pada kedudukan 0.2 batu nautika daripada Kampung Tanah Bahru, Kuala Perlis.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan berhampiran namun pihak APMM berjaya memintas dan menahan bot tersebut,

“Ketika dihampiri, bot yang dinaiki tekong dan 2 awak-awak bertindak terjun ke laut dengan berenang melarikan diri ke daratan kampung berhampiran,” jelasnya dalam hantaran di laman sosial APMM.

Mohd Shafie menjelaskan, anggotanya turut merampas bot fiber berserta enjin sangkut 30 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25 ribu.

“Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa ke jeti APMM Kuala Perlis untuk siasatan dan tindakan lanjut,

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada 10 ribu ringgit atau penjara tidak lebih 4 tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

Beliau turut menasihati penduduk setempat agar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply