Home Pertahanan dan Keselamatan Koperal Udara Tengku Intan Masyirah: Anak penguat semangat jalani misi di Lubnan

Koperal Udara Tengku Intan Masyirah: Anak penguat semangat jalani misi di Lubnan

by Nurulhuda

SUBANG, 2 Okt – Biarpun sedih terpaksa berjauhan dengan keluarga, kumpulan pertama pegawai dan anggota misi Pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-8 (MALBATT 850-8) yang berlepas ke Lubnan semalam, tetap bersemangat menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Salah seorang srikandi negara, Koperal Udara Tengku Intan Masyirah Tengku Roslan, 35 mengakui amat berat apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dan meninggalkan seorang anak perempuan selama setengah tahun, namun menganggap ia sebagai satu cabaran serta kekuatan untuk melakukan tugasan dengan lebih baik.

Tengku Intan turut mengakui cukup berbangga apabila dipilih menyertai pasukan misi ini yang juga disertai 39 anggota wanita lain untuk berkhidmat di Lubnan.

“Memang ada perasan sedih tinggalkan anak dan keluarga. Namun, saya tetap kuat untuk mereka,

“Anak saya sudah berumur 7 tahun, tapi perasaan sedih tu tetap ada,” jelasnya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 di Pangkalan Udara Subang, semalam.

Beliau yang bertugas di Bahagian Sumber Manusia, Markas Tentera Udara berkata, segala keperluan anak akan diuruskan sendiri oleh suaminya yang juga seorang anggota tentera yang berkhidmat di Pangkalan Udara Subang.

“Bermula dari saya menjalani latihan pemanasan, saya sudah terangkan kepada anak untuk sertai misi ke luar negara,

“Saya tidak akan berjumpa dengan dia sampai anak darjah dua, setiap hari itulah pesanan saya sampailah hari ini (semalam). Saya berharap dia memahami,” tambahnya yang sudah berkhidmat selama 12 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu Lans Koperal Sting anak Sapong, 29 yang berkhidmat di 22 Group Gerakhas (22 GGK), Mersing berkata beliau sangat bersyukur dan berbangga kerana dipilih mewakili pasukannya untuk berkhidmat di luar negara ini.

Anak jati kelahiran Sarawak itu, turut meluahkan perasaan sedih apabila terpaksa meninggalkan kedua ibu bapanya demi menabur bakti melaksanakan misi yang pertama di luar negara sepanjang berkhidmat dalam ATM.

Semalam, kumpulan pertama yang dianggotai seramai 215 anggota diketuai oleh Kolonel Azudin Hassan berlepas menerusi Pangkalan Udara Subang, pada jam 4 petang.

Kesemua mereka akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. MALBATT 850-8 akan ditempatkan di 2 petempatan tetap iaitu di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin serta akan melaksanakan tugas-tugas operasi khususnya di kawasan yang telah dipertanggungjawabkan.- airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply