Home Pertahanan dan Keselamatan 22 PATI, 2 tekong ditahan dalam Operasi Benteng semalam

22 PATI, 2 tekong ditahan dalam Operasi Benteng semalam

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 2 Okt – Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 orang tekong ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan di seluruh negeri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut sebuah bot dan 9 kenderaan darat.

Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan, sebanyak 84 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng telah dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (73 SJR), AKSEM (10 SJR) dan ATM (1 SJR).

“Operasi Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain adalah untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19,

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri turut mengesahkan, pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah menahan seramai 89 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 77 individu telah dikompaun manakala 12 direman,

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (30), penjarakan fizikal (29), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (14), langgar perintah PKPDB (10), aktiviti dalam pub/kelab malam (5), dan premis beroperasi tanpa lessen (1),” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply