Home Pertahanan dan Keselamatan 293 ingkar PKP, 124 ditahan berhibur di kelab malam

293 ingkar PKP, 124 ditahan berhibur di kelab malam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 293 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah yang ditahan, 124 daripadanya terlibat dengan aktiviti di pub atau kelab malam.

“Daripada jumlah itu, seramai 269 individu telah dikompaun manakala 24 individu direman, semalam,

“Selain aktiviti di kelab malam, mereka yang ditahan melibatkan individu yang tidak melakukan penjarakan fizikal (85), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (31), tidak memakai pelitup muka (24), premis beroperasi lebih masa (10), tangkapan pendatang asing tanpa izin (9), premis beroperasi tanpa kebenaran (6), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (2), dan gagal lunaskan caj kuarantin (2),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM turut membuat 54,825 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri menjelaskan National Task Force telah berjaya menahan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI), 5 penyeludup dan 2 tekong dalam Operasi Benteng (OP Benteng) yang dilaksanakan semalam.

Op Benteng yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain turut berjaya merampas 4 kenderaan darat dalam serbuan berkenaan.

“Sebanyak 91 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam, melibatkan PDRM (69 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR),

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply