Home Semasa Kebakaran HKL, tiada kemalangan jiwa

Kebakaran HKL, tiada kemalangan jiwa

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Heric Corray berkata satu kebakaran telah berlaku di Bilik Stor, Aras 4 Hospital HKL dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku pada jam 11.00 malam tadi.

Beliau berkata kejadian disedari apabila Bilik Kawalan dan Pusat Panggilan Hospital dimaklumkan mengenai bunyi dari alarm penggera kebakaran yang dikesan dari alat pengesan asap dan bomba telah dihubungi pada jam 11.07 malam.

“Semasa insiden tersebut, beberapa wad berdekatan dikosongkan dan pesakit dikeluarkan untuk tujuan keselamatan,

“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, api berjaya dipadamkan oleh petugas hospital dengan menggunakan alat pemadam api dan hose reel berhampiran pada jam 11.20 malam sebelum pihak bomba tiba ke lokasi kejadian.

“Cawangan Forensik dari jabatan bomba telah menjalankan siasatan setelah api dipadamkan dan telah mengisytiharkan api telah dipadamkan sepenuhnya,

“Sebaik sahaja diisytiharkan selamat, pemindahan semula pesakit ke wad masing-masing dilaksankan pada jam 12.48 pagi dan selesai lebih kurang jam 2.00 pagi tadi,” ujarnya.

Tambahnya, susulan kejadian ini, perkhidmatan di HKL tidak terjejas dan berjalan seperti biasa.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan bomba dan pihak HKL akan dimaklumkan mengenai hasil siasatan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan PBK II Hamzah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.07  malam dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, serta pasukan forensik dengan kekuatan lapan anggota.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 11.35 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Malam tadi, beberapa gambar berserta video tular di laman media sosial mengenai satu kejadian kebakaran dilaporkan berlaku di HKL.

Kebakaran tersebut menyebabkan sebilangan pesakit terpaksa dipindahkan ke kawasan luar dan lapang bangunan hospital itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply