Home Politik BN, PN, PRS tubuh Gabungan Rakyat Sabah

BN, PN, PRS tubuh Gabungan Rakyat Sabah

by Nurulhuda

TUARAN, 12 Sept – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah parti baharu yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Muhyiddin berkata parti yang disertai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu akan menjadi sebuah pakatan politik baharu bagi membentuk kerajaan Negeri Sabah seterusnya berjuang bersama kerajaan pusat untuk memajukan Sabah sekiranya memenangi PRN Sabah kelak.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat khas bersama-sama pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti itu, semalam.

“Semalam saya di Kota Kinabalu, kita telah duduk bersama parti-parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah untuk dibela dan dimajukan,

“Justeru, saya nak umumkan sebuah gabungan yang dinamakan sebagai Gabungan Rakyat Sabah yang bersatu hati untuk bekerjasama membentuk kerajaan selepas 26 September nanti,” katanya ketika berucap di pekarangan Pejabat Perhubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tuaran di sini hari ini.

Muhyiddin berkata jika hanya PN dan BN sahaja yang menang, tidak akan dapat membentuk kerajaan yang kuat di Sabah tanpa gabungan daripada Gabungan Rakyat Sabah.

Beliau berkata kesamaan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan membolehkan Sabah lebih pesat membangun khususnya di kawasan Tuaran yang masih memerlukan banyak pembangunan.

Turut hadir calon Bersatu bagi kerusi DUN Sulaman, Datuk Haji Noor dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply