Home Semasa Tuntutan ke atas Sabah: Filipina konon main sentimen patriotik, hakikatnya ia sekadar kosmetik politik

Tuntutan ke atas Sabah: Filipina konon main sentimen patriotik, hakikatnya ia sekadar kosmetik politik

by M.Daim
[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=gTtEhxXJBrg[/embedyt]

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kementerian Luar Negeri hari ini menegaskan tindakan Manila untuk tidak berganjak dari pendirian untuk menuntut Sabah sebagai sebahagian wilayah mereka hanyalah bersifat politik sempena pilihanraya di negara itu.

Pendirian itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar di Dewan Rakyat, hari ini.

“Kita sedia maklum bahawa isu tuntutan ke atas Sabah kadang kala dimainkan oleh berapa ahli politik di Filipina bagi kepentingan politik dalaman mereka,

“Isu ini sering dijadikan modal politik terutamanya segelintir ahli politik dari Kepulauan Luzon untuk kononnya menzahirkan semangat patriotik, tetapi pada hakikatnya bersifat kosmetik, dalam usaha mereka untuk meraih sokongan rakyat Selatan Filipina. Isu ini kerap dibangkitkan menjelang pilihanraya di Filipina,” katanya semasa Sesi Kamar Khas Parlimen.

Menurut beliau, permainan politik yang dimainkan oleh Filipina adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan sia-sia.

“Jelas sekali tindakan sebegini tidak sensitif dan tidak mengambil kira hubungan baik antara Malaysia dan Republik Filipina, dan semangat setiakawan serta kerjasama dalam ASEAN,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Kamarudin turut menegaskan tuntutan Manila terhadap Sabah adalah tidak berasas dan negeri itu tetap sebahagian daripada wilayah kedaulatan Malaysia.

“Pada tahun 1962 Rakyat Negeri Sabah telah dengan jelas menentukan sendiri hak mereka in the exercise of their self-determination supaya negeri itu berada dalam Persekutuan Malaysia.,

“Keputusan referendum Suruhanjaya Cobbold, seperti yang termaktub dalam laporannya bertarikh 1 Ogos 1962, menentu sahkan aspirasi dan keputusan rakyat Negeri Sabah untuk menyertai Persekutuan Malaysia,” tegas Kamarudin.

Menurut beliau, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Sabah sebagai wilayah Malaysia.

“PBB dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf Sabah sebagai “an inseperable, unalienable and integral part of Malaysia” (tidak boleh dipisahkan dan sebahagian wilayah Malaysia),

“Apa jua tuntutan yang dibuat oleh mana-mana pihak asing ke atas Sabah berdasarkan sejarah terdahulu atau atas apa-apa alasan lain tidak lagi relevan serta tidak terpakai,” tegasnya lagi.

‘Tuntutan berdasarkan sejarah dan hak-hak sebelum era kolonial tinggal sejarah’

Beliau menambah, Filipina pernah cuba melakukan permohonan mencelah semasa perbicaraan kes antara Malaysia dan Indonesia berhubung kedaulatan Pulau Sipadan serta Pulau Ligitan pada tahun 2001 di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Permohonan Filipina telah ditolak oleh ICJ dan telah diulas oleh Hakim Ad-hoc Thomas Frank semasa melakukan penghakiman,

“Beliau telah menjelaskan bahawa ‘prinsip undang-undang antarabangsa moden tidak mengiktiraf hak kedaulatan semata-mata berdasarkan sejarah, tidak dalam apa jua keadaan selepas hak menentukan pemerintahan sendiri dilaksanakan, kerana ianya menerima pengiktirafan antarabangsa oleh organ politik PBB,

“Maka, tuntutan berdasarkan sejarah dan hak-hak sebelum era colonial telah berakhir dan kini hanya menjadi peristiwa sejarah,” jelas Timbalan Menteri Luar Negeri.

Mengulas langkah terbaharu oleh Manila yang bercadang untuk memasukan Sabah pada peta muka hadapan pasport Filipina, Kamarudin menyatakan pihak Kementerian Luar Negeri akan memantau rapat perkembangan usul itu.

“Setakat ini, cadangan rang undang-undang tersebut belum dikategorikan sebagai Rang Undang-Undang Dewan Perwakilan Filipina (House Bill),

“Berdasarkan proses penggubalan undang-undang di Filipina yang kita ketahui, cadangan rang undang-undang tersebut masih perlu melalui pelbagai peringkat sebelum diluluskan di Dewan Perwakilan Filipina (House of Representatives),

“Cadangan rang undang-undang tersebut kemudiannya akan dirujuk untuk perbahasan dan kelulusan di Dewan Senat (House of Senate). Dewan Perwakilan dan Dewan Senat merupakan dua Chamber Kongres Filipina (Philippine Congress),” ujarnya.

Menurutnya lagi, rang undang-undang tersebut hanya akan diluluskan oleh Kongres dan perlu melepasi pelbagai peringkat perundangan sebelum mendapat lampu hijau oleh Presiden Filipina.

Kamarudin turut menjelaskan Kementerian Luar Negeri sentiasa bertindak bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap kedaulatan Sabah.

“Sama ada kita mengemukakan nota bantahan, mengeluarkan kenyataan media, atau memanggil Duta Besar Filipina ke Kementerian Luar,

“Tindakan-tindakan sedemikian adalah bertujuan menegaskan pendirian Malaysia terhadap status Sabah,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, pihaknya masih mempunyai banyak pilihan untuk bertindak terhadap isu yang timbul.

“Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas. Opsyen yang ada pada kita tidak hanya terbatas kepada tindakan-tindakan yang kita telah ambil sebelum ini,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Manila melalui Jawatankuasa Dewan Luar Negara Filipina telah Meluluskan Rang Undang-Undang Dewan 6399 yang meletakkan Sabah pada peta muka hadapan pasport negara itu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply