Home Semasa COVID-19: Agong dan PM pun patuh, jalani kuarantin di rumah

COVID-19: Agong dan PM pun patuh, jalani kuarantin di rumah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjalani kuarantin 14 hari di rumah.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menegaskan tiada sesiapa yang boleh melanggar atau mengatasi undang-undang dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak COVID-19.

“Tidak ada individu yang akan terlepas daripada dikenakan tindakan apabila ingkar pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,

“Berkenaan langgar SOP ini, tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Sebab undang-undang yang dibuat ini bukan untuk mendera sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara, menyelamatkan nyawa manusia khususnya di negara kita ini,” katanya ketika sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR – Setiawangsa) mengenai orang kenamaan terutamnya menteri yang tidak mematuhi SOP bagi membendung penularan COVID-19.

Nik Nazmi juga mempersoalkan sekiranya orang kenamaan tersebut perlu dikenakan kompaun yang lebih besar berbanding rakyat biasa.

Dr Noor Azmi berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sendiri melalui fasa kuarantin di rumah dan siapa saja yang melanggari sekarang ni kita kenakan kompaun RM1,000.

“Berdasarkan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 342 Seksyen 25 ini, kompaun maksima yang dikenakan adalah RM1,000,

“Tetapi kalau ada kes contohnya kes-kes yang lebih serius, yang telah dijalankan penyiasatan oleh pihak polis umpamanya… maka ini terpulang kepada agensi yang seterusnya. Contohnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga peguam,

“Kalau kes melalui Seksyen 24 dihadapkan ke mahkamah, mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk sesuatu kesalahan yang dilakukan tidak kira sesiapa pun,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan semua individu dari luar negara menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari, yang merupakan sebahagian daripada SOP bagi mengekang penularan COVID-19.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah menjalani kuarantin selama 14 hari selepas Istana Negara mengesahkan 7 petugasnya positif COVID-19.

Manakala, Perdana Menteri menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari pada 22 Mei lalu, selepas menghadiri mesyuarat pasca kabinet di Putrajaya yang turut dihadiri seorang pegawai yang positif COVID-19. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply