Home Politik Syed Saddiq tubuh parti anak muda

Syed Saddiq tubuh parti anak muda

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mengesahkan akan menubuhkan sebuah parti baharu yang pelbagai bangsa yang memberikan keutamaan kepada golongan anak muda.

Beliau juga mengesahkan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik sebuah laporan media semalam, beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata sudah masanya di Malaysia sebuah parti yang memberi fokus kepada anak muda yang berbilang kaum ditubuhkan bagi memastikan suara belia boleh mendominasi parlimen dan di luar parlimen.

“Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan parti Future Forward, manakala di Perancis mereka menubuhkan En Marche di bawah Presidennya Emmanuel Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda,

“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi,

“Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang sama,” katanya kepada Channel News Asia ketika berkempen untuk calon Pejuang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim semalam.

Sebelum itu, bekas ketua Armada Bersatu itu antara 5 yang digugurkan keahliannya dari Bersatu kerana bertindak duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply